Sebuah Blog Yang Memberikan Berita Informasi artis gosip Artikel Berita Isu terkini Semasa Video dan info Menarik

Wednesday, 4 February 2015

‘Ditegur’ Jin Tanah Di Kem Lolo

4 comments :
SELAIN Gunung Ledang di Johor, Tebu (Terengganu) dan Stong (Kelantan), Gunung Nuang yang terletak di Hulu Langat, Selangor juga tersenarai antara gunung yang dianggap ‘keras’ di negara ini.

S2 menemui Nor Fazli Abdul Aziz, 48, petugas penyelenggaraan Pejabat Hutan Selangor Tengah yang berpengalaman lebih enam tahun menjadi penunjuk arah (guide) di gunung setinggi 1,493 meter itu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Along berkata, selain mendengar kisah-kisah yang diceritakan pendaki, beliau sendiri pernah beberapa kali mengalami pengalaman aneh di gunung berkenaan.

Antara peristiwa tidak dapat dilupakan beliau adalah gangguan ‘jin tanah’ yang berlaku semasa beliau dan rakannya mengiringi kumpulan pendaki dari Putrajaya kira-kira dua tahun lalu.
Beliau berkata, kejadian berlaku di Kem Lolo semasa kawannya sedang memasak air selepas mereka mendirikan khemah di kem yang terletak kira-kira enam kilometer dari kaki gunung itu.

“Mulanya saya pesan pada dia supaya tidak hidupkan api sebab waktu Maghrib. Sekadar ikut pantang larang orang tua.

“Tapi dia tak endahkan saya. Dia terus hidupkan api tidak berapa jauh dari khemah,” katanya ketika ditemui di kaki Gunung Nuang, baru-baru ini.

Tidak lama selepas itu katanya, beliau yang sedang berehat di tepi khemah dikejutkan oleh kemunculan rakannya dengan muka pucat penuh ketakutan.

“Saya bertanya apa yang berlaku. Dia tidak menjawab sebaliknya, dia tanya kalau saya nampak benda yang dia nampak.

“Dia tidak bercakap banyak malam itu. Saya syak ada benda ‘mengacau’ di bawah pokok buluh tempat dia memasak ,” katanya.

Menurut apa yang diceritakan pada keesokan harinya, Along yakin kawannya itu diganggu oleh jin tanah yang pernah beberapa kali mengacau pendaki di situ.

Beliau berkata, gangguan yang dialami rakannya itu bermula dengan tiupan angin kuat yang muncul secara tiba-tiba sebelum melihat kepulan asap keluar berhampiran pokok buluh di situ.

Tambahnya, daripada kepulan asap biasa, ia kemudian bertukar bentuk menjadi seakan-akan badan manusia dengan sepasang kaki yang besar dan mula melangkah ke arah kawannya.
Dalam kejadian berasingan, Along pernah terserempak dengan seorang perempuan berambut panjang bertenggek di atas tunggul dalam perjalanan turun dari puncak gunung itu.

Kisah terbaharu katanya, seorang pendaki tiba di kaki gunung itu dalam keadaan termengah-mengah selepas berlari sejauh lebih tiga kilometer sambil mendukung anaknya.

Menurut apa yang diceritakan kepada beliau, lelaki dalam lingkungan usia 40 tahun itu berlari turun selepas anaknya melihat ramai orang berada di salah satu tempat rehat, sedangkan dia tidak melihat sesiapa di kawasan itu.

“Si anak bertanya kepada ayahnya kenapa ada ramai orang memandang ke arah mereka di hutan berkenaan. Dan ada yang melambai dari tepi denai.

“Takut dengan pertanyaan itu, dia terus dukung anaknya dan berlari hingga sampai ke kaki gunung,” katanya.

Bahkan menurut Along, ada pendaki yang ‘bersumpah’ tidak mahu menjejakkan kaki ke gunung itu semula selepas diganggu suluhan cahaya terang dari langit pada waktu malam.

Katanya, kejadian yang diceritakan oleh sekumpulan pendaki tegar itu berlaku lewat tengah malam ketika mereka sedang tidur.

“Mereka kata macam cerita UFO. Tapak perkhemahan tiba-tiba jadi terang kerana disuluh dari langit.

“Pada masa yang sama juga, semua lampu di dalam khemah perlahan-lahan malap dan terus padam.

“Tidak ada seorang pun daripada mereka yang berani menjenguk ke luar khemah untuk melihat apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

4 comments :

  1. kalau kem lolo kat area pansoon tu biasa lah pernah bertugas kat situ.

    ReplyDelete
  2. try la gunung bubu ulu kenas perak.. aku pernah kena tahun 2005.. siang2 ari pun leh jumpa benda2 ni..

    ReplyDelete